Fadillah: Sektor pembinaan diharap kekal sebagai penyumbang ekonomi negara dalam Belanjawan 2022

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 27 Okt: Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat, 29 Okt ini diharap meletakkan sektor pembinaan terus kekal sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kementerian perlu memastikan projek-projek pembinaan utama yang sedang dan akan dibina seperti Pan Borneo Sabah dan Sarawak berjalan lancar.

Katanya, ini termasuk Jalan Central Spine, West Coast Expressway (WCE) serta beberapa projek lebuh raya dan jalan persekutuan.


“Projek-projek berpaksikan rakyat ini bukan sahaja berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara, malah turut menyumbang ke arah kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah turut berharap agar Belanjawan 2022 dapat mempertimbangkan permintaan projek-projek berkeutamaan tinggi tertentu oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Antaranya ialah cadangan jalan baharu dan naiktaraf jalan sedia ada di beberapa negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Sarawak dan Sabah bagi melancarkan rangkaian perhubungan di kawasan berkenaan.

Di Sarawak tambah beliau, ia melibatkan Projek Sarawak Sabah Link Road – Lawas ke Persimpangan Long Lopeng (SSLR) dan juga projek menaiktaraf Jalan dari Persimpangan Kuala Baram Ke CIQ Sungai Tujuh, Miri Sarawak.

“Kementerian telah memohon sekurang-kurangnya 130 projek baharu di seluruh negara, sama ada projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan 4 lorong 2 hala.

“Atau membina jalan-jalan baharu untuk menambah baik rangkaian jalan utama sedia ada, program kajian berkaitan jalan, menaiktaraf jambatan uzur, program keselamatan jalan raya dan lain-lain lagi.

“Saya juga berharap supaya peruntukan yang signifikan juga dapat disediakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur seperti senggara serta naik taraf jalan persekutuan, pembaikan cerun, bangunan dan kuarters-kuarters kerajaan,” ujar beliau lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Fadillah juga berharap jaminan diberikan Perdana Menteri di pelancaran Keluarga Malaysia bahawa enam negeri yang kurang membangun termasuk Sarawak direalisasikan dan diterjemahkan menerusi Bajet 2022.

Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diagih kepada 6 negeri berkenaan iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Ini melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi yang akan turut menjadi intipati Bajet 2022,” kata Fadillah. — DayakDaily