Fadillah: Penjana menyediakan bantuan kepada syarikat kecil dan sederhana

Fadillah pada sidang media Lan Berambeh di MITEC.

KUCHING, 5 Jun: Kementerian Kerja Raya menyambut baik Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri hari ini, kata Menteri Kerja Raya merangkap Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, pelan Penjana banyak menyediakan peruntukan untuk membantu meringankan beban kewangan syarikat kecil dan sederhana, termasuk kontraktor, dan membantu melonjakkan semula perniagaan yang terkesan akibat dari pandemik Covid-19.

“Fokus Kerajaan dalam menyediakan bantuan aliran tunai menerusi pembiayaan SME Bank untuk kontraktor kelas G2 dan G3 yang dianugerahkan projek-projek kecil Kerajaan, akan membantu mempercepatkan pelaksanaan projek oleh kontraktor berkenaan dan membantu dalam aliran tunai bagi kontraktor gred ini,” kata Fadillah dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, antara pelan lain yang akan memanfaatkan sektor pembinaan secara tidak langsung meliputi pelanjutan pakej subsidi upah, insentif kepada majikan, dan pembiayaan PKS Penjana sehingga RM500,000.

“Selain itu, peruntukan RM2 bilion untuk program peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran penganggur akan memanfaatkan pekerja tempatan untuk membina kemahiran baru di dalam pelbagai bidang berkaitan pembinaan dan meneroka peluang kerjaya di dalam sektor ini.

“Graduan menganggur dari bidang teknikal boleh mengambil peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam penggunaan Building Information Modelling (BIM),” tambah beliau.

Fadillah, merangkap Ahli Parliamen Petrajaya berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerajui latihan di dalam bidang kemahiran pembinaan menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM).

“Selain itu, CIDB juga menawarkan latihan serta kemudahan BIM di Pusat MyBIM di Kuala Lumpur dan juga Satelite MyBIM di seluruh negara,” jelas beliau.

Selain itu, Fadillah juga menekankkan bahawa Kementerian Kerja Raya turut mengalu-alukan usaha melanjutkan tempoh dan memperluas skop potongan cukai bagi perbelanjaan berkaitan pencegahan Covid-19 kepada syarikat, termasuk bagi ujian saringan serta pembelian PPE dan pengimbas suhu.

“Potongan cukai ini sudah tentunya akan memanfaatkan sebanyak 7,500 kontraktor yang sedang melaksanakan projek-projek pembinaan,” tambah Fadillah.—DayakDaily