Fadillah menyangkal dakwaan nahas yang meragut tiga nyawa berlaku di Lebuhraya Pan Borneo

Fadillah (tengah) menjelaskan mengenai kerja naiktaraf Lebuhraya Pan Borneo pada sidang media selepas mesyuarat mengenai lebuhraya itu.

KUCHING, Jan 31: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyangkal dakwaan yang kemalangan maut membabitkan sebuah bas sekolah merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Bintulu pagi Jan 30 telah berlaku di Lebuhraya Pan Borneo yang sedang menjalani kerja naiktaraf.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan kemalangan maut berkenaan telah berlaku di jalan lain yang tiada kaitan dengan Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini yang sedang dinaiktaraf dari dua lorong kepada empat lorong dan dipantau kementerian itu.

“Mengenai (kemalangan) bas sekolah terbabit, ianya bukan berlaku di Lebuhraya Pan Borneo tetapi di jalan persisiran pantai,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat/Dialog Penelitian Kerja-Kerja Pembaikan Kerosakan dan Penambahbaikan Pelan Pengurusan Trafik (‘Traffic Management Plan’ atau TMP) Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak
di sini, hari ini.


Fadillah mengulas kejadian sebuah bas sekolah merempuh belakang lori membawa muatan besi paip yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 12 Jalan Persisir Bintulu-Miri berhampiran Ladang Sebubu, Samalaju, pagi Isnin lepas.

Kemalangan tersebut telah menyebabkan pemandu bas dan dua murid telah maut manakala empat lagi murid lain yang turut menaiki bas terbabit turut cedera dengan seorang dari mereka dilaporkan kritikal di Hospital Bintulu.

Beliau berkata sebagai langkah mengelakkan kejadian serupa berlaku di Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dinaiktaraf di negeri ini, pihaknya di mesyuarat itu telah mencadangkan semua kontraktor projek naiktaraf lebuhraya terbabit supaya mewujudkan pasukan bertindak kecemasan masing-masing.

“Pasukan ini akan ada lori (penunda kenderaan) dan kenderaan sendiri bagi memantau sepanjang jalan (Lebuhraya Pan Borneo) yang sedang dinaiktaraf dan sekiranya mengesan ada kenderaan yang berhenti kerana rosak atau sebagainya, pasukan ini akan bertindak segera memberikan bantuan kepada pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Ini bagi memastikan kenderaan itu tidak ada mendedahkan sebarang bahaya kepada penguna jalan raya lain terutama pada waktu malam berikutan ada kawasan sepanjang lebuhraya terbabit yang gelap kerana tiada lampu jalan.

Fadillah juga mendedahkan pada mesyuarat itu pihaknya bersetuju akan menubuhkan satu akaun di laman sosial Facebook yang khusus bagi orang ramai mengadukan tentang kerja naiktaraf sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya telah mengarahkan semua kontraktor supaya melantik kakitangan yang akan berada dalam akaun Facebook terbabit, malahan saya juga akan menyertai akaun itu supaya dapat bersama membantu menyelesaikan apa sahaja aduan orang ramai nanti,” katanya.

Beliau berkata setiap aduan orang ramai yang disalurkan dalam akaun Facebook itu akan dipastikan mula diambil tindakan selepas dua jam diterima dan sebolehnya diselesaikan dalam tempoh 24 jam bagi aduan yang mudah seperti jalan berlubang.

Disamping itu, Fadillah mendedahkan akan melakukan sendiri pemeriksaan mengejut terhadap kerja naiktaraf Lebuhraya Pan Borneo bagi memastikan kontraktornya tidak sengaja mengabaikan keselamatan penguna jalan raya.

“Ini kerana saya sudah mengarahkan semua kontraktor Lebuhraya Pan Borneo supaya memastikan bahagian lebuhraya itu yang dinaiktaraf mereka ditingkatkan keselamatannya kepada pengunaan kenderaan dengan menyediakan lebih banyak peralatan keselamatan penting di tapak seperti lampu berkelip, pemantul cahaya, penghadang jalan, dan papan tanda yang jelas,” katanya.

Pihaknya juga mengeluarkan amaran terakhir kepada kontraktor pada mesyuarat itu dan sekiranya pemeriksaan mengejut mendapati arahan terbabit masih tidak diendahkan kontraktor, KKR akan melantik pihak ketiga yang akan mengambil alih kerja naiktaraf bahagian kontraktor terbabit dan nilai kontrak mereka akan dipotong.

Disamping itu, beliau juga meminta pengguna kenderaan mengurangkan kelajuan ketika melalui bahagian Lebuhraya Pan Borneo yang dinaiktaraf di negeri ini terutama dari Sibu ke Bintulu kerana ada banyak kerosakan struktur. Beliau menjelaskan had kelajuan melalui jalan sedang dinaiktaraf atau diselengara ialah 50 kilometer (KM) sejam dan ada serendah 30 KM sejam.

“Ini kerana dari laporan polis, kebanyakan kes kemalangan di jalan Lebuhraya Pan Borneo bukan disebabkan keadaan jalannya tetapi disebabkan kenderaan dipandu laju,” katanya serta meminta pemilik kenderaan yang rosak di bahu jalan lebuhraya itu sentiasa memasang lampu amaran dan meletakkan tanda amaran di belakang kenderaan bagi keselamatan pengguna jalan raya lain. — DayakDaily