Fadillah: Belanjawan 2020 ibarat ‘diluar bagai madu, di dalam bagai empedu’

Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Oktober: Ibarat “diluar bagai madu, di dalam bagai empedu” adalah ucapan pembukaan Ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Negara hari ini.

Ungkapan tersebut katanya, kelihatan indah luarannya namun tidak sedemikian di dalamnya, adalah gambaran sebenar Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng  pada 11 Oktober lalu, terutama untuk rakyat Sarawak.


Justeru beliau memetik ucapan Ahli Parlimen (MP) Batang Sadong, Nancy Shukri,  sebelum ini  “Kami di Sarawak bukanlah golongan yang bersikap ‘hard to please’”.

“Kerana hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah Sarawak dan Sabah hanya menerima lebih kurang separuh daripada peruntukan pembangunan yang dijanjikan dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jumlah yang diperuntukkan RM9.6 bilion atau 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan Belanjawan 2020, dengan Sarawak hanya menerima RM4.4 bilion, manakala Sabah RM5.2 bilion,” tegas Fadillah.

Beliau yang juga MP Petra Jaya mengimbas kembali manifesto Pakatan yang menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Namun pada pembentangan belanjawan tersebut, kenapa hanya 17.1 peratus yang diperuntukkan?

“Jika beginilah caranya kerajaan Pakatan mengagihkan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah, hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia nampaknya tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat, terutama dari segi infrastruktur.

“Ini kerana kerajaan Pakatan sendiri tidak mampu untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Sarawak sendiri,” beliau berpendapat.

Mengulas isu yang sama, Fadillah mendakwa dalam Belanjawan 2020, Pakatan banyak menaburkan janji-janji baharu sedangkan janji lama terutama dalam manifesto PRU-14 pun Pakatan tidak mampu tunaikan terutama kepada rakyat Sarawak.

“Bagaimana rakyat Sarawak boleh mempercayai janji-janji baharu yang dilafazkan terutama dalam Bajet 2020?

“Apakah jaminan kerajaan persekutuan bagi memastikan apa yang diumumkan untuk Sarawak tidak akan dibakulsampahkan seperti yang berlaku kepada Manifesto PRU-14,”  tanya beliau. — DayakDaily