Enam NGO gesa kerajaan percepat proses vaksinasi di Sarawak

(Dari kiri atas, ikut pusingan jam) Elias, Edward, Paul, John, Wilfred, Rafael dan Samuel.

KUCHING, 16 JUN: Enam persatuan bukan kerajaan (NGO)Sarawak menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat negeri ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, semua pemimpin NGO tersebut meluahkan kebimbangan berkenaan pendekatan kerajaan negeri yang disifatkan lambat dalam memberikan suntikan vaksin.

“Kita perhatikan proses vaksinasi di Sarawak agak perlahan dan ia amat dikesali. Kita berharap kerajaan bertindak pantas berhubung kesihatan rakyat.


“Banyak rungutan seperti ibu bapa sudah berusia 60-an dan ada penyakit belum menerima vaksin walaupun telah lama mendaftar.

“Ada segelintir rakyat yang sanggup membayar wang sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin. Kelewatan pemberian vaksin ini sememangnya tidak boleh diterima dan ia perlu dipercepatkan,” menurut kenyataan itu.

Enam NGO tersebut ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) yang diwakili presiden Elias Lipi Mat dan timbalannya Edward Awan, Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) diwakili Paul Raja sebagai presiden, Samuel Suring sebagai presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS).

Tiga yang lain ialah setiausaha Persatuan SADIA (Miri) Rafael Dru, presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem dan setiausaha agung Persatuan Balang Balai Nyabung (BBN) Dr John Brian.

Kenyataan itu juga menyebut Kerajaan negeri perlu bertindak lebih proaktif dari sekarang supaya kadar jangkitan dapat dikawal dari awal.

Kerajaan katanya perlu memperhebatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu proses pendaftaran rakyat di luar bandar Sarawak dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan negeri perlu menyediakan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sarawak. Sarawak telah menerima 380,000 vaksin jenama Sinovac dan kita berharap kerajaan negeri terus berusaha mencapai tahap
imuniti kelompok.

“Perbanyakkan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut kesesuaian lokaliti, terutamanya di luar bandar dan di pedalaman, menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak untuk mempercepatkan program
vaksinasi.

“Kerajaan negeri perlu pendekatan yang lebih komprehensif bagi penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman supaya mereka lebih jelas kepentingan vaksinasi,” menurut kenyataan itu lagi.— DayakDaily