Ditangkap bersama dadah, lelaki bukan warganegara berdepan tali gantung

Polis melakukan serbuan terhadap satu parti liar di sebuah premis di Batu Kawa.

KUCHING, 16 Jun: Seorang lelaki warganegara India berdepan hukuman gantung sampai mati setelah ditahan bersama serbuk jus disyaki ecstasy seberat 766.68 gram dan 53 pil ecstasy.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong, suspek ditahan di dalam serbuan ke atas sebuah premis di Batu Kawa di mana satu parti liar telah diadakan pada 14 Jun lepas.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama 7 hari bagi melengkapkan siasatan.


“Jumlah keseluruhan nilai dadah yang dirampas ialah RM13,554 dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan 15 kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lim berkata 9 lagi individu turut ditahan berhubung serbuan pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan pada premis yang sama malam itu.

Katanya, hasil ujian air kencing yang dilakukan turut mendapati empat daripada mereka positif dadah dan telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua mereka juga telah dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tujuan berkumpul dan berhibur dengan nilai kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM36,000,” ujar Lim. — DayakDaily