Enam kedai, 36 rumah dipotong elektrik sejak Januari kerana dijadikan pusat operasi judi dalam talian

Operasi memotong bekalan elektrik.

KUCHING, 7 Julai: Sebanyak 40 serbuan ke atas premis pusat pengoperasian judi dalam talian dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata daripada jumlah tersebut sebanyak enam premis perniagaan dan 36 buah rumah kediaman dipotong bekalan elektriknya.

Katanya, tindakan tersebut diambil di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


“Terbaru pada 6 Julai, IPD Kuching bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan pemotongan elektrik ke atas tiga premis perniagaan dan lapan buah rumah kediaman yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

“Tujuan perlaksanaan undang-undang ini adalah bagi mengekang pertambahan kegiatan perjudian khususnya di daerah Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, bekalan elektrik yang telah dipotong tidak boleh disambung semula sehingga mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah. — DayakDaily