Enam agensi kerajaan Sarawak terpilih perintis pensijilan anti-rasuah tahun ini

Jaul (kedua kiri) menyampaikan dokumen Manual Standard ABMS kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton, pada Majlis Pelancaran Projek Rintis MS ISO 37001:2016 ABMS di Waterfront Hotel Kuching hari ini (8 Feb 2022). Kredit Foto: SFC

KUCHING, 8 Feb: Enam agensi kerajaan negeri Sarawak telah terpilih sebagai projek rintis pensijilan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) tahun ini.

Mereka adalah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Regional Corridor Development Authority (RECODA).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata MS ISO 37001:2016 ABMS merupakan satu sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi bagi mengesan, mencegah, mengendali, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik pengurusan anti rasuah secara lebih berkesan.


Pelaksanaan pensijilan ABMS ini, katanya, adalah sejajar dengan Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 3 Tahun 2019 yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak pada 16 Mei 2019 serta arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 14 pada 14 April 2021.

“ABMS menggariskan pelbagai polisi dan prosedur yang boleh dipatuhi dan digunakan oleh organisasi sebagai ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah.

“Ia akan membantu organisasi melaksanakan sistem pengurusan yang efektif dalam mencegah, mengesan dan menangani rasuah yang boleh berlaku dalam sesebuah organisasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Rintis MS ISO 37001:2016 ABMS di Waterfront Hotel Kuching hari ini.

Tambahnya, pensijilan ABMS agensi perintis ini akan menjadi rujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi lain untuk melaksanakan inisiatif yang sama kelak.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar ketua-ketua jabatan, serta tuan-tuan dan puan-puan memberikan komitmen yang tinggi dan padu untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 ABMS ini dalam tempoh masa yang dirancangkan.

“Saya berharap agar pada Jun 2022 semua agensi projek rintis ABMS ini dipersijilkan,” ujarnya.

Jaul turut mengucapkan terima kasih kepada Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION) yang bertindak sebagai sekretariat projek dan SIRIM STS Sdn Bhd yang merupakan pelatih dan fasilitator untuk bengkel ABMS ini. — DayakDaily