Empat lagi penerbangan menghantar belakan makanan di pendalaman Sarawak berjaya dilaksanakan

Kerja-kerja memasukkan barang bekalan makanan ke dalam helikopter EC 725 AP oleh TUDM.

KUCHING, 6 April: Helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) berjaya melaksanakan empat lagi penerbangan menghantar bekalan makanan asas kepada golongan sasaran di kawasan pedalaman Sarawak.

Penghantaran melibatkan komuniti yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19 dari terus menular.

Menurut kenyataan akhbar TUDM, penerbangan melibatkan dua set kru anak kapal dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan, yang diterbangkan oleh Lt Kol Vachiral Ratanaphan Ban Teang dan Mej Frezal Raynol.

Penghantaran telah dilakukan ke kawasan pedalaman Sarawak di Long Lellang, Bario.

Penduduk kampung membantu mengangkat serta membawa bekalan makanan yang telah dihantar oleh TUDM.
Anggota-anggota TUDM mengangkat bekalan barang makanan ke helikopter bagi dihantar ke kawasan pedalaman Sarawak.

Terdahulu, kerja-kerja membawa bekalan makanan asas ke dalam helikopter EC 725 AP dilakukan di Lapangan Terbang Miri bermula seawal jam 7 pagi dengan kerjasama anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah naungan Markas Pemerintahan Medan Timur.

“Semalam, empat penerbangan yang pertama telah dilaksanakan bagi menghantar bekalan makanan asas ke Bario, Sarawak. TUDM khususnya, akan terus komited dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi mengutamakan kesejahteraan rakyat terutamanya semasa krisis Covid-19.

“Semoga tanggungjawab sosial yang dilaksanakan oleh warga kerja TUDM ini dan Angkatan Tentera Malaysia amnya, membolehkan orang ramai mendapat manfaat dan terus mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghentikan wabak berbahaya Covid-19 dari merebak.” — DayakDaily