Empat ditahan selepas disyaki terlibat pecah masuk sebuah kedai di Senadin

Polis menahan keempat-empat remaja terbabit untuk tindakan lanjut.

Brad Rantayy

MIRI, 19 Ogos : Empat remaja lelaki berusia dari 13 sehingga 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai di Senadin berjaya ditangkap, kurang 24 jam selepas kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada malam Rabu sekitar jam 11 malam di sebuah rumah di Senadin.


“Tiga suspek ditahan di dalam sebuah rumah, manakala suspek keempat telah menyerah diri,” ujarnya.

Dalam kejadian, kelibat kesemua suspek berjaya dirakam dalam televisyen litar tertutup (CCTV) premis tersebut.

Pada Rabu, sebelum tangkapan, anak pemilik kedai yang dipecah masuk berjaya mengenal pasti wajah salah seorang suspek yang terlibat dalam kejadian semasa berjalan di kawasan Senadin.

Antara barangan yang dilaporkan telah hilang semasa kejadian adalah dua kotak mee segera perisa kari dan ayam, enam balang gula-gula, empat paket biskut jenama Julies, 15 paket kecil ‘3 In One’, dua pasang selipar dan beberapa botol minuman ringan.

Beliau terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Semasa tangkapan, polis turut merampas dua pasang selipar dipercayai telah dicuri dari kedai runcit tersebut.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily