Elak didenda JPN tetapi ditangkap polis gara-gara laporan palsu

ACP Ahsmon Bajah

KUCHING, 6 Ogos: Gara-gara mengelak daripada didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seorang lelaki kini berhadapan hukuman lebih berat apabila ditangkap membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek 22 tahun sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun kerana kehilangan kad pengenalan.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek hanya mereka-reka cerita bagi mengelakkan didenda oleh JPN kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Dedah Ahsmon, dalam laporannya, suspek mendakwa dirinya disamun oleh dua lelaki menggunakan senjata pisau pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi di Jalan Kruing, Bintawa.

Dia mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM1,200 dan kehilangan dokumen penting iaitu kad pengenalan dan kad bank.

Sementara itu, Ahsmon berkata, sepanjang Januari hingga Ogos, sebanyak lima laporan polis palsu melibatkan kejadian samun dan ragut telah dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Kesemua suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah di bawah 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda Maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberi gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di Daerah Kuching.

“Pihak polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat sedemikian,” katanya. — DayakDaily