Roland Engan Pengerusi PKR Sarawak baharu

Anwar (duduk tengah) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Roland (duduk kanan) dan Abun (duduk dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Ogos: Roland Engan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu.

Keputusan ini diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media selesai mesyuarat ketua-ketua cabang di Kuching hari ini.


“Tujuan mesyuarat kita pada hari ini adalah untuk memutuskan pimpinan negeri yang baharu.

“Jadi kita telah putuskan tadi dengan sebulat suara bahawa Roland Engan dilantik selaku Pengerusi MPN yang baharu, tiada bantahan,” kata Anwar.

Roland Engan adalah merupakan Ketua Cabang PKR bagi Baram yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Berhubung persiapan parti menghadapi Pilihanraya Umum Ke -15 (PRU15), Anwar berkata pimpinan parti belum berada di tahap tersebut.

Katanya, PKR terlebih dahulu akan menubuhkan jawatankuasa pilihanraya di peringkat pusat dan negeri.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Negeri yang juga Ketua Cabang Hulu Rajang Abun Sui Anyit ketika ditemui berkata, sebanyak 3 nama calon sudah disahkan bertanding mewakili PKR pada PRU15 nanti.

Selain beliau sendiri di Parlimen Hulu Rajang, 2 nama lain ialah Roland Engan di Baram dan Japar Suyut di Lawas.

Bagaimanapun kata Abun, nama calon-calon lain akan diputuskan di mesyuarat PKR peringkat pusat di Kuala Lumpur pada Sabut ini.

Mesyuarat PKR hari ini dihadiri 28 ketua-ketua cabang daripada 31 kesemuanya. — DayakDaily