Eksport kayu and produk kayu Sarawak bernilai RM6.13 bilion pada 2017

Naroden (empat dari kiri) menerima cenderahati disampaikan Lai ketika Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-25 SFIA dan Sambutan Pesta Lu Ban, di Kuching.

KUCHING, Sept 3: Sarawak mencatatkan eksport kayu dan produk kayu keseluruhannya bernilai RM6.13 bilion pada 2017 dan menjadikan kayu dan produk perkayuan sebagai ke-empat terpenting kepada pendapatan eksport negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Industri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ke-empat terpenting terbabit dibelakang gas asli cecair (LNG), petroleum dan produk petroleum dan minyak sawit.

“Produk utama kayu dieksport (tahun lepas) ialah papan lapis bernilai RM3.27 bilion, merangkumi 53 peratus dari keseluruhan pendapatan eksport, diikuti dengan balak bernilai RM1.21 bilion dan merangkumi 20 peratus dari keseluruhan pendapatan eksport,” katanya ketika Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-25 Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) dan Sambutan Pesta Lu Ban, di sebuah restoran di sini, semalam.


Majlis terbabit juga dihadiri Presiden SFIA, Lai King Min, Setiausaha Agung Majlis Perabot Malaysia, Albert Khoo, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Hashim Bojet.

Awang Tengah dalam ucapannya dibacakan wakilnya Menteri Muda Pembangunan Keushawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Datuk Mohd Naroden Majais berkata eksport produk kayu utama lain tahun lepas ialah kayu gerajian bernilai RM803 juta (13 peratus) dan papan gentian bernilai RM308 juta (5 peratus).

“Manakala export perabot dari Sarawak pula bernilai RM47 juta yang meningkat berbanding RM43 juta pada 2016,” katanya.

Katanya menyedari kepentingan negeri ini memiliki industri kayu bernilai lebih tinggi, kerajaan negeri melalui agensi pelaksananya PUSAKA akan melaksanakan Plan Transformasi Industri Kayu bagi mengubah struktur industri kayu tempatan dari terlalu bergantung dengan eksport produk kayu utama dan kedua kepada produk kayu bernilai tinggi menjelang 2030.

“Sasarannya adalah bagi mencapai pendapatan eksport perabot bernilai RM6 bilion menjelang 2030,” katanya.

Disamping itu, ketika ini kerajaan negeri sedang mengkaji semula polisi industri hutan dan kayu supaya polisi terbabit dapat mengalakkan pembangunan industri tambah nilai di Sarawak.

“Saya berharap ahli SFIA akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan berterusannya perniagaan yang berjaya dan pertumbuhan industri perabot di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Presiden SFIA, Lai King Min berkata persatuan itu berharap kerajaan negeri dapat menyokong perkembangan industri perabot negeri ini dengan mengubah polisi perkayuan sedia ada kerana ketika ini Sarawak masih ada banyak sumber kayu yang baik dari hutan semulajadinya dan dari spesis pokok kayu ditanam seperti Acacia.

“Acacia telah ditanam asalnya bagi industri kertas dan pulpa, bukan bagi perabot. Jadi pemulihannya amat perlahan. Hutan semulajadi menpunyai spesis kayu yang baik bagi perabot iaitu Meranti, Nyatoh malahan kayu Belian,” katanya.

Lai berkata pihaknya sehubungan itu menyarankan Sarawak mengunakan sumber semulajadi terbabit sebagai satu kelebihan dalam persaingan mengubah kayu balak kepada perabot dimana nilainya boleh ditingkatkan dari 5 ke 10 kali ganda, malahan pulangan yang diperolehi Sarawak melalui penghasilan perabot terbabit adalah sama dengan kayu balak tetapi tanpa perlu banyak memotong banyak pokok di hutan semulajadi negeri ini. — DayakDaily