Dua wanita ditahan dalam serbuan barangan belum lulus cukai

Pelbagai jenis rokok yang disembunyikan.

MIRI, Okt 16: Jabatan Kastam telah merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis di Tudan semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 15,214 batang rokok dan minuman keras pelbagai jenama telah dirampas, melibatkan nilai sebanyak RM6,121 dan jumlah cukai sebanyak RM12,489.32.

Jelasnya, dalam serbuan sama, dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan pasukan Kastam telah menjumpai sejumlah rokok pelbagai jenama yang disorokkan di dalam sebuah Proton Wira yang diletakkan di ruang parkir kenderaan di bahagian luar premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelbagai jenis rokok yang disembunyikan.

Sharifah Halimah menambah, individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. — DayakDaily