Polis Sarawak rampas mercun dan bunga api bernilai RM640,000

Mercun dan bunga api yang dirampas.

KUCHING, 18 April: Polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai mencecah RM640,000 sejak Januari sehingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata semalam sahaja dua serbuan telah dilakukan di Kuching dan telah merampas 8,739 kotak mercun dan bunga api.

Katanya, rampasan dibuat di Satok dan Jalan Rubber, di sini.


“Serbuan pertama dilakukan sekitar jam 3.30 petang 17 April di sebuah premis di Satok dan dalam serbuan telah merampas 5,706 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang diletakkan dibahagian belakang premis.

“Serbuan kedua sekitar jam 4 petang hari sama telah dilakukan ke atas sebuah premis di Jalan Rubber dan merampas 3,033 kotak mercun serta bunga api,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, seorang wanita berusia 37 tahun dan dua lelaki berusia 47 serta 61 tahun ditangkap dalam operasi tersebut.

Tambahnya, keseluruhan tangkapan dan rampasan mercun dan bunga adalah sebanyak tujuh kes iaitu empat di Kuching, Padawan, Sibu dan Bintulu masing-masing satu kes.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Bahan Letupan 1957.

Selain itu IPK Sarawak telah meluluskan 360 permohonan permit atau lesen menjual mercun dan bunga api di seluruh Sarawak.

“Manakala 19 permohonan telah ditolak disebabkan tapisan jenayah,” jelasnya.

Tegasnya, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang telah diluluskan permohonannya agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

“Setakat hari ini lima aduan diterima berkaitan kes berniaga mercun dan bunga api, tetapi belum ada laporan diterima ke atas mereka yang bermain mercun,” katanya. — DayakDaily