Dua syarikat termasuk 25 pekerja di Bintulu dikompaun RM57,500 kerana ingkar SOP

Dr Melvin (kiri) dan Tiong pada Operasi Pematuhan SOP di sekitar Bandar Bintulu.

KUCHING, 2 Mei: Dua buah syarikat serta 25 pekerja di Bintulu telah dikenakan kompaun RM57,500 akibat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Diperketatkan pada Jumaat.

Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung berkata, kompaun dikenakan di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Menurut Dr Melvin di dalam laporan UKAS, dua syarikat tersebut dan pekerjanya telah didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera selain membenarkan lebih 30 peratus kapasiti pekerja turun bekerja.

“Dua buah syarikat yang mengendalikan perniagaan penghantaran dan perkapalan serta jual beli kenderaan telah dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM10,000 kerana tidak mematuhi SOP yang hanya membenarkan 30 peratus pekerja turun bekerja.

“Turut dikenakan kompaun ialah 22 pekerja syarikat pengendalian penghantaran dan perkapalan yang sama di Tanjung Kidurong ekoran tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dengan menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat adalah sebanyak RM43,000.

“Manakala, tiga pekerja syarikat jual beli kenderaan di Tanjung Batu turut dikenakan kompaun sebanyak RM14,500 atasan kesalahan sama,” katanya semasa ditemui selepas Operasi Pematuhan SOP PKPB Diperketatkan di sekitar Bandar Bintulu dan kawasan Industri Kidurong pada Jumaat.

Ujar Dr Melvin lagi, pihaknya akan meneruskan Operasi Pemantauan SOP PKPB Diperketatkan bagi memastikan setiap syarikat dan masyarakat mematuhi SOP dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kita dari semasa ke semasa akan pergi melakukan pemantauan dari satu tempat ke satu tempat dan satu syarikat ke satu syarikat secara mengejut untuk membuat pemeriksaan pematuhan kepada SOP.

“Kita dapati masih ada syarikat yang tidak mematuhi SOP seperti yang telah digariskan kerajaan seperti tidak mengimbas MySejahtera dan pekerja turun melebihi 30 peratus.

“Kita amat memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk bersama kita untuk memastikan setiap orang patuh kepada SOP. Kalau tidak, sukar untuk kita mengawal pandemik tersebut,” ujarnya.

Hadir sama MP Bintulu yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat Cina Dato Sri Tiong King Sing dan beberapa wakil Penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu, pihak Polis dan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bintulu. — DayakDaily