Pusat Sehenti Covid-19 di Kuching beroperasi mulai esok, percepat pengesanan kontak rapat

Uggah (dua dari kanan) pada lawatan ke Pusat Sehenti di Dewan Masyarakat Kuching Jalan Padungan.

KUCHING, 2 Mei: Sebuah Pusat Sehenti Covid-19 diwujudkan di Bahagian Kuching sebagai inisiatif mempercepatkan pengesanan kontak rapat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pusat tersebut merupakan satu projek perintis yang bermatlamat menempatkan semua jabatan dan kakitangan yang terlibat dalam operasi memerangi Covid-19.

Jelasnya melalui laporan UKAS, pusat sehenti yang akan mula beroperasi pada esok iaitu 3 Mei, 2021 ditempatkan di Dewan Masyarakat Kuching Jalan Padungan.


“Ini adalah pusat sehenti yang pertama yang kita telah wujudkan di Sarawak dan ini adalah satu projek perintis yang mempunyai matlamat untuk menempatkan semua jabatan dan kakitangan yang terlibat sama dalam operasi memerangi Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut di sini semalam.

Diantara jabatan yang terlibat di Pusat Sehenti ialah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dewan Bandaraya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berharap dengan wujudnya pusat tersebut, segala pengurusan berkaitan kes Covid-19 dapat dipertingkatkan.

“Disinilah kita berharap satu pusat yang dapat menentukan segala pengurusan kes Covid-19 ini dapat kita tingkatkan dan pengesanan kontak dapat dibuat dengan lebih cepat,” katanya.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing. — DayakDaily