Dua suspek ditahan, dadah dirampas dalam Ops Hiburan di Miri

Antara dadah yang dirampas.
Advertisement

MIRI, 6 Mac: Serbuan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) ke atas sebuah pusat hiburan di Centre Point Commercial Centre malam tadi berjaya menemui beberapa barangan minuman dipercayai diseludup bersama pelbagai jenis dadah.

Susulan penemuan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga pengurus pusat hiburan tersebut dan seorang pekerja wanitanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu ditahan dalam operasi dikenali sebagai Ops Hiburan sekitar jam 11 malam.

Advertisement

Difahamkan, dadah dengan anggaran berat lebih 3,000 gram itu, ditemui hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis selepas pihak JSJ Miri memecahkan laci yang dipercayai tempat menyimpan bahan terlarang itu.

Keengganan suspek memberi kunci memaksa pihak polis memecahkan laci tersebut.

Kes disiasat mengikut seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B ADB 1952. — DayakDaily

Advertisement