Dua maut, seorang parah akibat ditetak di kapal tongkang, Muara Tabuan

Mancha dan Lukas menunjukkan senjata yang digunakan dalam insiden tersebut.

KUCHING, 16 Ogos: Dua lelaki tempatan terbunuh, manakala seorang parah akibat ditetak seorang lelaki warga Indonesia di sebuah kapal tongkang, di Muara Tabuan hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata berkata kedua-dua mangsa yang maut merupakan pemilik dan kapten kapal yang digunakan mengangkut arang batu.

Katanya, kejadian berlaku awal pagi tadi iaitu sekitar jam 2.30 pagi.


“Berlaku satu kejadian amuk pagi tadi yang telah mengorbankan dua lelaki tempatan dan menyebabkan seorang lagi cedera parah.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 47 tahun yang merupakan pekerja di kapal tersebut kemudian menyerah diri di Balai Polis Bintawa selepas kejadian tersebut.

“Suspek telah ditangkap dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Manakala mangsa yang cedera juga telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke rumah mayat HUS untuk tindakan selanjutnya.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi sehingga boleh menganggu siasatan polis.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh dan 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Turut sama dalam sidang media tersebut ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket. — DayakDaily