Dua lelaki temui ajal dalam nahas tiga kenderaan

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan SMK Pasentren, Sadong Jaya Ulu hari ini.

KOTA SAMARAHAN, Mac 29: Seorang penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki terkorban dalam kemalangan di Jalan SMK Pasentren, Sadong Jaya Ulu dekat sini hari ini.

Kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu dikenalpasti sebagai Bungkus Jati, 68, dari Kampung Sadong Jaya Tengah dan Amat Nasip Madenasti, 64, dari Kampung Tanjung Harapan, Simunjan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut merupakan penunggang motosikal Honda yang ditunggang oleh Bungkus Jati.

Jelasnya, Amat Nasip pula merupakan seorang pejalan kaki. Kedua-dua pemandu kereta Perodua Viva dan Perodua Kancil pula terselamat.

“Siasatan awal mendapati nahas itu dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Viva gagal mengawal kereta sebelum melanggar motoskla yang dinaiki mangsa.


“Susulan rempuhan tersebut telah mengakibatkan penunggang motosikal itu merempuh seorang pejalan kaki sebelum kedua-dua mangsa tercampak dan dilanggar kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

Jelasnya, polis telah merakam keterangan daripada kedua-dua pemandu bagi siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily