Dua lelaki di Sibu diperdaya sindiket pinjaman tak wujud

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

KUCHING, Sept 29: Seorang lelaki di Sibu kerugian RM28,160 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Sibu ACP Jonathan Ringgit berkata kejadian berlaku selepas mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook.

“Mangsa mengisi butiran peribadinya untuk tujuan pinjaman pribadi dan pada Sept 14, mangsa telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Kent.


“Pada Sept 18, mangsa telah menghubungi Kent untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jonathan berkata, pada Sept 24, mangsa diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM2,640 sebagai bayaran urusan pinjaman ke akaun sebuah bank.

Tambah beliau, mangsa juga membuat dua transaksi bank pada Sept 26 iaitu RM10,000 dan RM1,075 untuk bayaran pemprosesan pinjaman.

“Pada hari yang sama, mangsa juga membuat satu transaksi ke sebuah akaun bank sejumlah RM8,000 sebagai tujuan kawalan protokol.

“Setelah mangsa membuat semua pembayaran, Kent telah memberi resit bayaran secara atas talian dan memberitahu bahawa wang pinjaman akan diperolehi.

“Namun sehingga sekarang wang tersebut tidak masuk ke akaun mangsa,” kata Jonathan sambil memberitahu yang Kent ada memberi gambar cek atas nama mangsa sejumlah RM215,000.

Selain itu, Jonathan juga memaklumkan yang seorang lelaki di Sibu kerugian RM6,093.33 setelah turut terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud.

Katanya kes melibatkan seorang peniaga berumur 43 tahun yang tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook.

“Mangsa ingin membuat pinjaman berjumlah RM120,000 dan telah membuat beberapa transaksi ke beberapa akaun bank sebagai bayaran pemprosesan,’katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — DayakDaily