KUCHING, Okt 3: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan agar ibu bapa yang ingin mendaftarkan nama anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan supaya mengemukakan permohonan dengan menyatakan persetujuan bagi menggunakan nama tersebut.
JPN dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, terdapat dua kategori penamaan kanak-kanak yang dilarang iaitu ‘Nama Yang Ditegah’ dan ‘Nama Yang Tidak Sesuai’.
Jelas JPN, ia menjelaskan ‘Nama Yang Ditegah’ adalah seperti nama gelaran, keturunan, lucah, bermaksud buruk, ‘initials’ dan ringkas.
“Manakala ‘Nama Yang Tidak Sesuai’ pula ialah seperti nama binatang, lucu, buah-buahan, peralatan, huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya dan nama yang tidak elok maknanya,” kata JPN.
JPN menambah, jabatan berkenaan tidak meletakkan sebarang syarat khusus dalam pemberian nama kanak-kanak oleh ibu bapa masing-masing.
Ini kerana kata JPN, keputusan pemberian nama kepada kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran bayi.
“Perlu diingatkan bahawa nama yang diberikan oleh ibu bapa adalah bergantung kepada mana-mana individu.
“Perkara tersebut juga adalah sangat subjektif,” tambah JPN lagi. — DayakDaily