Premis judi haram dipotong bekalan elektrik, polis cekup 11 individu

Petugas SEB bersama anggota polis terlibat dalam operasi memotong bekalan elektrik di premis perjudian haram.

KUCHING, Okt 3: Seramai 11 individu diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan di sini hari ini.

Operasi bersepadu melibatkan premis menjual nombor loteri haram dan pusat judi dalam talian itu dilaksanakan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Terdapat 12 premis perjudian iaitu di Kenyalang Commercial Centre, MJC, Hui Sing Garden dan Matang telah diserbu kira-kira pukul 11.30 pagi.


Ketua JSJ Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, kesemua individu yang diberkas itu berusia antara 19 hingga 32 tahun.

Jelasnya, daripada 11 individu yang ditahan tersebut, sembilan merupakan wanita manakala dua lagi lelaki.

“Dalam serbuan itu, pasukan polis telah merampas wang tunai sebanyak RM893 yang disyaki hasil daripada kegiatan perjudian haram berkenaan.

“Polis juga merampas 10 unit telefon pintar pelbagai jenama yang turut dipercayai digunakan individu terbabit menjalankan aktiviti perjudian,” katanya di sini hari ini.

Denis menambah, operasi bersepadu bersama SEB itu dilakukan bagi memastikan premis berkenaan tidak menjalankan aktiviti haram itu dengan memotong bekalan elektrik di situ.

Katanya, polis yakin menerusi tindakan pemotongan bekalan elektrik itu, kegiatan haram berkenaan dapat dibanteras dengan mengekang premis tersebut beroperasi semula.

“Tindakan memotong bekalan elektrik oleh SEB itu adalah mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily