Dua ditangkap sebab gaduh di Siburan

Komposit gambar tempat kejadian dan suspek yang ditangkap.

KOTA PADAWAN, 24 Julai: Dua lelaki ditangkap polis selepas dikatakan menyerang seorang penjual alat ganti jentera berat di Duranda Mas, Siburan semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 20 dan 29 tahun terbabit bertindak sedemikian kerana merasa tidak puas hati terhadap mangsa (lelaki) berusia 49 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek tidak berpuas hari kerana dendam, di mana suspek mendakwa mangsa pernah memukul bapanya serta memcemar imej majikan mereka.

Menurutnya, insiden dilaporkan oleh mangsa berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari itu menyaksikan mangsa dipukul sehingga menyebabkan cedera di tangan, kepala dan badan.

“Salah seorang suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sengaja menjatuhkan imej kedai majikannya yang memberi sumbangan makanan kepada orang awam semasa tempoh Perindah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Manakala suspek kedua tidak berpuas hati kerana mangsa telah memburukan imej keluarganya selain mangsa telah memukul bapanya sebelum ini sehingga bapanya ditangkap kerana bergaduh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya kejadian dipercayai berpunca daripada kes yang berlaku pada 10 Julai lalu bersabit laporan polis di Balai Polis Siburan yang disiasat di bawah Seksyen 504/427/160 Kanun Keseksaan dan 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)1998.

Sementara itu, hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek mengaku ada menumbuk dan menendang mangsa.

“Dalam kes ini juga mendapati tidak sebarang unsur gangsterism dan hanya melibatkan ketidakpuasan hati,” katanya.

Turut dirampas dua helai baju lengan pendek, dua seluar, dua pasang kasut dan seunit telefon bimbit jenama iPhone milik kedua-dua suspek. — DayakDaily