5 suspek kes gaduh di Jalan Song ditangkap

PDRM logo

KUCHING, 2 April: Polis telah menahan lima orang lelaki warga tempatan berhubung kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Song pada 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 60 tahun ditangkap D7 IPD Kuching di Jalan Wan Abdul Rahman sekitar jam 8.30 malam, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan adalah berpunca dari salah faham ketika mereka sedang berjudi.


“Hasil soal siasat awal ke atas semua suspek didapati kejadian berpunva dari salah faham ketika bermain judi.

“Turut dirampas peralatan perudian dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Hasil saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif dadah dan tiga daripada mereka masing-masing mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,”katanya.

Ahsmon menyeru kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. — DayakDaily