12 lelaki warga tempatan disyaki bergaduh di dalam sebuah bistro di Marina Bay telah ditangkap

Satu gambar tangkap layar dari CCTV bistro tersebut merakam kejadian pergaduhan tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Sept: Kesemua 12 lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan satu insiden pergaduhan awal pagi Isnin di sebuah bistro di Marina Bay telah ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan tangkapan kesemua suspek dalam satu kenyataan media hari ini.


Menurutnya ,kesemua suspek berusia antara 19 sehingga 23 tahun itu terlibat dalam insiden tersebut sekitar jam 2.30 pagi.

“Sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri (JSJ) yang kebetulan membuat rondaan di sekitar kawasan tersebut telah melihat berlaku kekecohan di dalam sebuah Bistro dan pasukan rondaan tersebut telah bertindak pantas dalam meleraikan pergaduhan,” ujarnya.

Kesemua suspek yang terlibat telah ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu Memiliki Senjata Dalam Rusuhan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ianya akan mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk menyalurkan maklumat. — DayakDaily