Dua cedera dalam kemalangan di Jalan Mukah-Balingian

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit

MUKAH, 9 Mei: Seorang remaja perempuan tersepit di dalam keretanya selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Mukah-Balingian, hari ini (Ahad).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata laporan berhubung kejadian diterima pada jam 2.42 petang.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux dan Nissan Almera.

“Pemandu Hilux, iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak Bomba tiba.

“Manakala pemandu kereta Almera yang berusia 19 tahun masih tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan Bomba selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Seterusnya pasukan Bomba melakukan pembersihan serpihan akibat kemalangan tersebut,” katanya.

Operasi tamat pada jam 3.16 petang. — DayakDaily