Dua bot nelayan tempatan ditangkap kerana langgar syarat lesen

Gambar komposit menunjukkan tangkapan dua bot nelayan tersebut.
Advertisement

MIRI, 4 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri menahan dua bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang enam batu nautika dari barat laut Tanjung Baram, Miri, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dua bot tersebut ditahan selepas dilihat berkelakuan mencurigakan sekitar jam 6.15 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan oleh dua tekong lelaki warga tempatan dan enam kru lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 21 tahun hingga 65 tahun.

Advertisement

“Siasatan awal mengesyaki mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kedua-dua bot nelayan tersebut bersama lapan kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan sebanyak 1.5 tan metrik diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement