Dua beradik dicekup selepas disyaki miliki dadah

Kelihatan dadah yang dirampas daripada dua beradik di Kampung Haji Baki.

PADAWAN, Julai 15: Dua beradik ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan yang dilakukan polis di sebuah rumah di Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang di sini hari ini.

Dua lelaki masing-masing berusia 34 dan 29 tahun itu dicekup sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.


Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah bilik tidur bersebelahan dapur rumah yang mana polis telah menjumpai satu kotak rokok jenama ‘VESS’ warna hijau/putih di atas lantai.

“Pemeriksaan lanjut menemui kotak rokok tersebut mengandungi 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat 7.0 gram,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, nilai syabu yang dirampas daripada kedua-dua suspek dianggarkan antara RM900 hingga RM1,000.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang suspek berusia 29 tahun mengaku memiliki dadah tersebut yang dibeli daripada pembekal bernama Mamat.

“Seorang lagi suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952

“Manakala, adik suspek turut mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12(2), 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya.

Sambil menambah, kedua-dua suspek mengaku mengambil dadah jenis syabu sejak enam tahun lepas.

“Kedua-dua suspek kink ditahan di Lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen Sek. 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya lagi. — DayakDaily