WAO gesa ibu bapa berani tampil buat laporan jika ada kes penderaan kanak-kanak

Pertubuhan Pertolongan Wanita/ Women's Aid Organisation logo

KUCHING, Julai 15: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa agar ibu bapa tidak berasa takut untuk tampil melaporkan kes penderaan kanak-kanak, sama ada seksual ataupun tidak.

WAO dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, penderaan seksual kanak-kanak sering kali tidak dilaporkan.

Justeru kata WAO, pihak berkuasa mestilah memudahkan, dan bukannya menghalang, laporan kes.


“Pihak berkuasa juga harus melindungi individu-individu yang melaporkan penderaan seksual kanak-kanak dengan niat yang baik.

“Akta Kanak-kanak 2001 juga memberi mandat kepada ahli-ahli keluarga untuk membuat laporan jika mereka “atas alasan yang munasabah mempercayai” bahawa seseorang anak telah didera.

“Kegagalan melaporkan penderaan kanak-kanak sebenarnya merupakan suatu kesalahan,” kata WAO.

WAO menambah, setiap individu juga mempunyai kewajipan untuk melaporkan penderaan seksual kanak-kanak bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.

Jelas WAO, akta tersebut menyatakan bahawa mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai pelakuan mana-mana kesalahan di bawah akta ini kepada pegawai yang menjaga balai polis yang berdekatan, melakukan suatu kesalahan.

“Tindakan pihak berkuasa juga seolah-olah mengukuhkan stereotaip jantina bahawa golongan wanita yang melaporkan penderaan seksual sedang menipu dan tidak boleh dipercayai.

“WAO juga bimbang terhadap usaha baru-baru ini untuk mengehadkan dan mengawal akses kepada anak-anak mereka.

“Pengawalan akses kepada anak-anak merupakan taktik yang sering digunakan dalam situasi keganasan rumah tangga,” kata WAO lagi. — DayakDaily