Dua Ah Long beri pinjaman wang haram dicekup polis

Pelbagai barangan yang dirampas daripada kedua-dua suspek.

MIRI, Ogos 30: Dua lelaki dipercayai Ah Long yang menjalankan operasi memberi pinjaman wang secara haram diberkas polis berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bekenu di sini.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 dan 33 tahun dicekup pihak polis pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Menurut sumber, kejayaan tangkapan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan.


“Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua suspek menyasarkan golongan peniaga kecil dalam memberi pinjaman wang.

“Namun, suspek dipercayai mengenakan kadar faedah pinjaman yang berlipat ganda hingga menyebabkan para pemimpin terbeban dan menanggung jumlah hutang pinjaman yang tinggi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Acp Lim Meng Seah mengesahkan penahanan kedua-dua suspek berhubung kes berkenaan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit telah menjalankan operasi memberi pinjaman secara haram sejak dua bulan lepas.

“Kedua-dua suspek kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” ujarnya lagi. — DayakDaily