Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami ranap terbakar

Kelihatan sebuah rumah yang ranap terbakar.

SEBUYAU, Ogos 30: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Hulu di sini musnah terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, sebuah rumah jenis struktur tidak kekal telah ranap terbakar 100 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Mat Undek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.09 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan bomba tiba di kawasan kejadian pada pukul 5.14 petang memandangkan jarak BBP Simunjan ke lokasi adalah 58 kilometer.

“Tiada tindakan operasi dijalankan kerana kebakaran sudah padam, namun anggota bomba hanya membuat pemantauan dan ‘overhaul’,” katanya di sini hari ini.

Mat menambah, api berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 4.03 petang.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran itu.

“Punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. ā€” DayakDaily