DTTAS – DNS gesa Kerajaan Sarawak ambil alih kuasa keluarkan sijil lahir dan kad pengenalan

Willie (kiri) dan Paul.

KUCHING, 12 April: Kerajaan Sarawak harus mengambil-alih kuasa untuk mengeluarkan sijil lahir dan kad pengenalan kepada rakyat Sarawak tanpa campur tangan Kerajaan Pusat.

Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) dalam kenyataan bersama berkata, ini adalah kerana Kerajaan Pusat terbukti telah gagal menyelesaikan masalah pengenalan diri rakyat Sarawak.

“Kerajaan Sarawak boleh menggunapakai Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian untuk mengeluarkan sijil lahir bagi rakyat Sarawak.


“Sementara Kerajaan Pusat harus keluarkan kad pengenalan berdasarkan Sijil Lahir keluaran Kerajaan Sarawak.

“Selain dari itu, kita juga cadangkan agar Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 2016 harus bertindak menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan Penasihat DTTAS Wellie Henry Majang dan Presiden DNC Paul Raja.

Kedua-dua pemimpin ini yakin bahawa inilah waktu terbaik dan tepat untuk Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah rakyat negeri ini.

Katanya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak serta Sabah sedang dalam proses untuk memulangkan sebahagian kuasa Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, kedua-duanya menyambut baik langkah Kerajaan Negeri yang akan mengeluarkan dokumen sementara kepada individu berusia 21 tahun ke bawah yang tidak mempunyai status kewarganegaraan.

”Kita dimaklumkan dokumen ini bertujuan untuk memudahkan mereka mendapat kemudahan pendidikan dan kesihatan di negeri ini.

“Tindakan berperikemanusiaan ini memang dialu-alukan. Ini kerana, diseluruh dunia, mengikut Perisytiharan Hak Asasi Manusia, Pendidikan dan Kesihatan adalah hak asasi manusia dan patut diberikan kepada setiap manusia.

“Lebih-lebih lagi kepada rakyat sendiri walaupun tiada dokumen pengenalan diri,” ujar mereka.

Namun jelas Willie dan Paul, kita juga terkilan kenapa hanya untuk mereka yang berumur kurang dari 21 tahun saja? Bukankah ini satu bentuk diskriminasi berdasarkan had umur?

“Kenyataan Menteri juga menyebut bahawa langkah ini bukannya jaminan atau janji untuk mendapat status kerakyatan Malaysia kerana perkara itu adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sementara usaha untuk memberi dokumen sementara memberikan harapan kepada ramai rakyat tempatan yang belum mendapat dokumen pengenalan diri, namun ia juga mengecewakan kerana usaha itu nampaknya hanya usaha separuh jalan.

“Seharusnya ianya menjadi langkah permulaan Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah rakyat tempatan yang masih belum ada dokumen pengenalan diri,” katanya lagi. — DayakDaily