DTTAS beri 3 cadangan kepada KPM berhubung isu kekurangan guru Bahasa Iban

File photo of a classroom environment.
Advertisement

KUCHING, 21 Sept: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) menggariskan 3 cadangan yang wajar diteliti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) sebagai jalan penyelesaian kepada isu kekurangan guru Bahasa Iban di Sarawak.

Presidennya Elias Lipi Mat berkata, cadangan pertama ialah KPM perlu memastikan kekosongan bagi guru mata pelajaran tersebut di sekolah rendah dan menengah wajar dipenuhi dalam pengambilan seramai 18,702 secara ‘one-off’.

“Kedua, KKM perlu memberi keutamaan kepada para graduan IPG dan graduan yang mempunyai ijazah perguruan dari institusi yang diiktiraf untuk mengisi kekosongan tersebut.

Advertisement

“Dan ketiga, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Institut Perguruan dalam pengajian Bahasa Iban ditambah sekurang-kurangnya 100 orang pelatih pada setiap tahun.

“Ini bagi memastikan guru mata pelajaran Bahasa Iban tidak akan berdepan dengan masalah kekurangan guru mata pelajaran ini lagi pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Elias, Bahasa Iban harus diberi keutamaan oleh KPM memandangkan bahasa itu sudah diiktiraf di peringkat tinggi dalam sukatan pelajaran di negara ini.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani katanya, ia dibimbangi menjejaskan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Iban di kalangan generasi muda.

Katanya lagi, Bahasa Iban bukan lagi bahasa etnik untuk kegunaan dan dituturkan oleh komuniti Iban semata-mata, tetapi sudah berkembang menjadi salah satu bahasa yang dimiliki dan dapat dipelajari rakyat secara keseluruhannya.

“Jika kekosongan ini terus dilupakan, maka sukar untuk memastikan bahasa Iban (bertulis dan lisan) akan terus dihargai oleh generasi baru.

“Ia bukan sahaja sebagai sebuah bahasa “mother tongue”, tetapi sebagai sebuah budaya dan memastikan bahasa ini terus terpelihara,’ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement