Pertimbangkan kemudahan bank dan mesin ATM di pekan Spaoh dan Debak

Bank Simpanan Nasional (BSN) di Betong
Advertisement

KUCHING, 9 Sept: Berbaris sehingga lebih dua jam dengan panjang barisan kadang-kala sehingga lebih 100 meter, itulah situasi dilalui masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Betong.

Orang ramai sudah mula memenuhi persekitaran BSN sejak 6 pagi dan keadaan ini amat menyedihkan, malahan ada yang datang lebih awal semata-mata untuk mendapat giliran terawal.

BSN Betong kini beroperasi dengan tiga kaunter pelanggan, sebuah mesin ATM dan sebuah mesin ‘cash deposit’.

Advertisement

Menurut pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang, pengagihan Bantuan Khas Sarawakku Sarawak (BKSS) dan Bantuan Khas Covid-19 di bank berkenaan juga amat perlahan dan masalah ini bukan hanya baharu berlaku hari ini tetapi sejak bantuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di perkenalkan kepada rakyat.

“Situasi itu berterusan sehingga pelbagai pihak dan penerima BKSS mempertikai keupayaan sistem perkhidmatan dan penyampaian agensi yang menguruskan bantuan itu. Pada waktu Pandemik Covid-19 ini waktu operasi bank amat terhad dan belum tentu urusan mereka boleh diselesaikan dalam sehari.

“Oleh yang demikian, perlu ada perubahan dan perancangan sistematik yang lebih efisien menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan dalam usaha menyalurkan bantuan yang diterima oleh pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Wellie Henry Majang

Menurut Wellie, bagi penduduk pedalaman yang terkesan waktu pandemik Covid-19, bantuan tunai BKSS dan Bantuan Khas Covid-19 amat diperlukan bagi menampung keperluan harian dan yang terkesan kerana terjejas pendapatan.

Beliau menyifatkan bantuan wang tunai RM500 hingga RM1,600 amat bermakna dan untuk mendapatkan tunai itu bukan mudah kerana melibatkan perjalanan sukar dan sekatan antara daerah.

“Terdapat juga keluarga di pedalaman yang tidak dapat menanggung kos pengangkutan kerana perjalanan yang sukar untuk berurusan ke bank atau cawangan mesin ATM terdekat. Ada yang pulang dengan hampa, apabila mesin ATM tidak berfungsi kerana tergendala ataupun kehabisan wang dan ketika itu pasti barisan sangat panjang. Masalah ini boleh dielakkan sekiranya terdapat kemudahan bank dan pertambahan mesin ATM.

“Oleh itu, kita sangat-sangat berharap agar kerajaan negeri dan kerajaan pusat memandang berat masalah dialami masyarakat di Betong, seterusnya mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan bank di pekan Spaoh dan Debak dan menambah perkhidmatan mesin ATM,” katanya.

Wellie turut menggesa supaya kerajaan melihat masalah ini sebagai hikmah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan, dimana banyak perkara yang diperlihatkan dan sangat penting untuk diselesaikan. — DayakDaily

Advertisement