Dr Sim: PRU14 mungkin diadakan pada bulan April atau Mei

Dr Sim (tiga dari kanan) meletakkan tanda ICOM Square pada papan tanda tempat mengambil dan menurunkan penumpang GRAB di ICOM Square sebagai simbolik melancarkannya.

KUCHING, Mac 6: Berikutan ramai pihak bertanyakan kemungkinan tarikh Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Professor Datuk Dr Sim Kui Hian membuat spekulasi yang pilihanraya tersebut berkemungkinan bukan pada bulan ini dan sebaliknya berkemungkinan akan diadakan April atau Mei depan.

“Saya membuat spekulasi yang Parlimen mungkin dibubarkan April depan dan tiga minggu selepas itu sudah boleh diadakan PRU14; kalau Parlimen dibubarkan awal April maka pilihanraya di hujung bulan depan dan kalau
dibubarkan pertengahan April, maka pilihanraya awal Mei depan,” katanya selepas melancarkan tempat mengambil dan menurunkan penumpang GRAB di ICOM Square, Pending, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran berkenaan juga dihadiri pengerusi iCube Innovation Datuk Patrick Liew, pengarah eksekutif Kumpulan Syarikat Nationlink Chai Kun Seng, pengurus hartanah ICOM Square Louise Sim dan pengurus GRAB Wilayah Borneo Kelvin Lam.


Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan membuat spekulasi terbabit berikutan ketika ini ramai pihak berterusan bertanya kepadanya mengenai kemungkinan tarikh pilihanraya itu disamping mereka membuat pelbagai ramalan dan spekulasi mengenai tarikh terbabit.

“Orang ramai selalu bertanya bila tarikh sebenarnya pilihanraya. Saya hanya boleh berkata pada Mac 29 depan persempadanan semula kawasan pilihanraya akan dibentangkan di Parlimen,” katanya mengenai kemungkinan menyebabkan pilihanraya itu tidak dapat diadakan bulan ini.

Beliau bagaimanapun menyangkal yang persempadanan semula kawasan pilihanraya itu yang akan dibentangkan di Parlimen turut membabitkan negeri ini kerana Sarawak sudah membuat persempadanan semula bagi menetapkan kawasan pilihanrayanya pada 2016.

Sementara itu mengenai bakal calon SUPP pada PRU14, beliau enggan mendedahkannya termasuk bagi kerusi Parlimen Stampin yang kini semakin menjadi tumpuan. Beliau menegaskan yang SUPP ketika ini sudah melakukan pembaharuan iaitu siapa sahaja dalam parti terbabit boleh dipilih menjadi calon bagi bertanding dalam pilihanraya.

“Ini asalkan mereka (ahli SUPP terbabit) sentiasa turun padang bertemu rakyat dan tidak berbuat demikian hanya menjelang pilihanraya seperti sesetengah calon parti pembangkang dan selepas pilihanraya mereka kembali menghilangkan diri,” katanya.

Bagaimanapun Dr Sim berkata ketika ini kalau ada ahli SUPP yang berminat menjadi calon, ianya mungkin sudah
terlambat kerana senarai nama calon SUPP bagi PRU14 sudah dihantar kepada Perdana Menteri dan presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang
Johari Tun Openg.

Mengenai saranan Ketua Menteri dan Perdana Menteri supaya SUPP bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat (UPP), Dr Sim menegaskan parti itu sudah membuat pengumuman jelas sejak Disember lepas yang SUPP akan sentiasa terbuka menerima kembali bekas ahli parti terbabit yang ketika ini menyertai parti lain termasuk pembangkang.

“Yang penting ialah keikhlasan hati untuk mahu kembali kepada SUPP bagi menjadikan Sarawak lebih kuat dan bukan
hanya mahu menukar baju (parti) ataupun disebabkan ketibaan pilihanraya,” katanya dan meminta mereka yang mahu kembali kepada parti itu tidak hanya menghebohkan hasrat mereka melalui media. — DayakDaily