Dr. Rundi: Projek atasi bekalan air di kawasan kritikal siap di penghujung 2020

Dr. Rundi semasa ucapan penggulungan Kementerian Utiliti di persidangan DUN hari ini. (Nov 11, 2019).

Chris Bishop

KUCHING, NOVEMBER 11: Sejumlah 226 projek untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di beberapa kawasan kritikal di negeri ini dijangka siap dilaksanakan pada penghujung 2020.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata daripada jumlah itu, 217 projek dengan peruntukan RM2 bilion telah diserahkan kepada kontraktor.


ā€œSejumlah 87 projek berskala kecil telah siap dilaksanakan sekaligus menyelesaikan masalah bekalan air dan projek yang selebihnya telah memasuki fasa tertentu,” kata Dr Rundi.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan kementerian beliau dipersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mengulas isu yang sama, Dr Rundi berkata sembilan projek dengan peruntukan RM417 juta sedang di fasa penilaian tender dan sejumlah 40 projek masih di fasa reka bentuk.

Dr Rundi memberi penekanan kepada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air yang mengariskan pelan jangka pendek iaitu sehingga 2025, sederhana (sehingga 2040) dan jangka panjang sehingga 2070.

“Pelan induk ini melibatkan 3 strategi utama iaitu permintaan terhadap bekalan air, rawatan dan pengagihan bekalan air dan ketiga berhubung kualiti air.

“Pelan ini dijangka siap dilaksanakan pada penghujung tahun ini dan cadangan skim bekalan air yang baharu dan grid air yang telah dikenal pasti akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,ā€ katanya.

Berhubung keputusan kerajaan dalam pembentangan belanjawan negeri 2020 yang menyediakan 12,000 liter air percuma bersamaan rebet RM5 sebulan, Rundi berkata ia memberi kebaikan kepada 600,000 isi rumah.

Katanya Kerajaan Negeri memperuntukan RM40 juta setahun untuk tujuan tersebut.

Dr Rundi bertambah, perlaksanaan Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) akan membantu Sarawak mencapai liputan bekalan air 100 peratus menjelang 2025. ā€” DayakDaily