Dr Abdul Rahman: Ambil serius peluang ekonomi di kawasan pentadbiran baharu Nusantara, Indonesia

Kelihatan Dr Abdul Rahman (tengah) ketika ditemui pihak media di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pusat Khidmat Dun Pantai Damai.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Mei: Saranan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud agar sektor swasta mengambil peluang ekonomi hasil daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan harus diambil serius.

Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini memberi impak positif kepada Sarawak sebagai negeri paling dekat dengan wilayah tersebut.


“Sememangnya digalakkan sektor swasta turut serta melihat peluang masing-masing untuk bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di Kalimantan untuk bersama membangunkan kawasan baharu tersebut.

“Inilah peluang kepada sektor ekonomi khususnya sektor pembangunan infrastruktur dari Sarawak untuk terlibat sama,” katanya di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pusat Khidmat Dun Pantai Damai di sini, hari ini.

Tambah Dr Abdul Rahman, pada hari ini kerajaan Indonesia sedang giat membangunkan bangunan di Nusantara secara besar-besaran dalam tempoh yang pendek.

Katanya, sudah tentu mereka memerlukan kepakaran dari sudut pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi.

“Kita sebagai negara jiran boleh berkongsi kepakaran dengan mereka,” ujar Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai.

Taib dalam ucapan pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini menjangkakan peluang sosio-ekonomi yang besar hasil daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Menurut Taib, jarak yang dekat antara Sarawak dengan Nusantara akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala.

Beliau gembira Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengorak langkah ke hadapan untuk membangunkan sambungan kuasa rentas sempadan ke Kalimantan Barat.

“Selain itu, SEB juga bekerjasama dengan syarikat Indonesia untuk membangunkan projek hidroelektrik di Kalimantan Utara.

“Kedua-dua projek ini akan melengkapkan Grid Kuasa Asean.

“Saya berharap sektor swasta diluar sana bersedia dan bersama-sama merebut dan memanfaatkan peluang perdagangan dan ekonomi ini nanti,” kata Taib. — DayakDaily