Dasar pembangunan selari kepentingan penjagaan alam sekitar


Oleh Kadir Edison

KUCHING, 8 OKT: Dasar pembangunan sesebuah negeri harus mengambil kira kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengabaian perkara itu boleh menyebabkan berlakunya bencana alam yang akan memberi kesan kepada kehidupan seharian.


“Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan dan sebagainya boleh berlaku jika kita tidak mengambil kira aspek alam sekitar ketika melaksanakan pembangunan dan ini pastinya akan merugikan kita sama ada dari aspek keselamatan, kesihatan dan ekonomi kita,” katanya.

Menyedari hakikat tersebut, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata, kementerian itu telah dan sedang melakukan tranformasi bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan tidak akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Kementerian itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini katanya telah Berjaya menggubal beberapa dasar yang memberi keutamaan kepada penglestarian sumber asli, biodiversiti dan alam sekitar di Sarawak.

“Pada 13 September 2017, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kementerian kita telah menetapkan bahawa Persijilan pengurusan Hutan adalah mandatori bagi konsesi pembalakan jangka panjang dan menjelang tahun 2022 semua konsesi pembalakan jangka panjang mestilah diperakui mempunyai persijilan berkenaan.

“Dasar kita jelas dalam melaksanakan Persijilan Pengurusan Hutan dan sehingga kini kita mempunyai kawasan hutan seluas 1.3 juta hektar diperakukan persijilan menerusi Unit Pengurusan Hutan (FMU),” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkihidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak malam tadi.

Katanya, usaha perlu dipertingkatkan oleh kementerian itu dan agensi di bawahnya untuk memastikan sasaran 4.5 juta hektar hutan di Sarawak dapat di perakui dibawah FMU.

Tambah beliau, Jabatan Hutan sentiasa komited untuk memelihara flora dan fauna di Sarawak dengan mewartakan kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) dan kerajaan menyasarkan untuk satu juta kawasan daratan di negeri ini diwartakan sebagai TPA.

“Sehingga kini kita telah Berjaya mewartakan sejumlah 867,000 kawasan daratan kita di Sarawak sebagai kawasan TPA ini,” katanya.- DayakDaily