Dari pemain ke pengadil, bola sepak tetap di hati

Thomas (duduk tiga kanan) merakamkan kenangan bersama para pengadil lain di program ujian kecergasan baru-baru ini.
Advertisement

oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Feb: Minat mendalam terhadap bola sepak sejak kecil telah mendorong Thomas Labun, 44, menceburi bidang pengadilan bagi meneruskan kelangsungan dalam sukan tersebut.

Bagi beliau yang berasal dari Kampung Telagus (Jalan Serian – Simanggang), bola sepak bagaikan tidak dapat dipisahkan daripada dirinya.

Advertisement

Di usia 17 tahun lagi, Thomas yang merupakan peminat setia Liverpool sudah beraksi di Liga Kuching iaitu di sekitar tahun 1990-an.

Permulaannya, beliau telah mewakili beberapa pasukan di Kuching sebelum diambil Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) pada tahun 2003 sebagai kakitangan.

Sejak itu, beliau terus mewakili pasukan Landas (JTS) dalam pelbagai pertandingan bolasepak peringkat kelab.

Kini, beliau memiliki lesen Pengadil Bola Sepak Kelas Tiga Negeri dan layak mengadili perlawanan bola sepak di dalam Sarawak.

“Bola sepak bagaikan satu kemestian bagi saya, setelah berada di usia ini (44 tahun) adalah sukar bagi saya untuk bermain seperti dahulu.

“Maka saya teruskan minat ini dengan menjadi pengadil, saya minat berada di padang bola sepak,” kata Thomas.

Dengan memiliki lesen pengadil itu, beliau pernah beberapa kali dipanggil Persatuan Pengadil Bahagian Kuching untuk mengadili beberapa pertandingan peringkat negeri.

Antaranya Piala Sarawak Bawah 19 Tahun dan Piala Sarawak Wanita.

Pada hujung minggu pula, Thomas kerap dipanggil untuk mengadili perlawanan peringkat daerah dan kampung.

“Ya, sebagai pengadil kita ada dibayar elaun. Kebiasaannya sekitar RM80 untuk satu perlawanan.

“Bayaran adalah bergantung kepada pihak penganjur dan dipersetujui oleh kita sebagai pengadil,” katanya.

Selain bola sepak, Tumas juga memiliki lesen Pengadil Futsal Kelas Tiga Negeri.

Mengimbas penglibatan beliau dalam bola sepak, Thomas pernah mewakili Bahagian Kuching dalam Pertandingan Bola Sepak Piala Sarawak dari tahun 1999 hingga 2004.

Beliau telah muncul juara sebanyak 4 kali bersama Bahagian Kuching iaitu pada tahun 1999, 2001, 2002 dan 2003.

“Antara kenangan manis adalah apabila saya menjadi Kapten Pasukan Landas yang menjuarai Piala Adenan Satem pada tahun 2011 di Lundu,” katanya.

Baru-baru ini Thomas telah mengikuti sesi ujian kecergasan pengadil dan taklimat undang-undang yang dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Bahagian Kuching di Stadium Negeri. — DayakDaily

Advertisement