Pesta Regatta Batang Kayan 2022 sasar 10,000 pengunjung

Azizul (tengah) pada sidang media di Lundu. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 13 Sept: Pesta Regatta Batang Kayan 2022 yang kembali berlangsung pada 23 hingga 25 Sept ini dijangka menarik kehadiran seramai 10,000 orang pengunjung.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan berkata acara kemuncak iaitu pencarian Raja Sungai Batang Kayan 2022 juga akan ditentukan menerusi pesta tersebut.

Setakat ini katanya, sebanyak 14 pasukan telah mendaftar penyertaan mereka dengan pasukan-pasukan dari daerah Lundu sehingga ke Belaga.


“Pelbagai aktiviti menarik juga akan diadakan seperti pameran, promosi dan jualan, pertandingan bola keranjang, pertandingan menyumpit, pertandingan memanah, ‘nuclear spicy noodle challange’.

“Pesta kali ini juga melibatkan pertandingan karaoke, pertandingan ratu kebaya senior, fun run, pertandinga e-sport PUBG, ‘big bike gathering’, autoshow, dan konsert rakyat,” katanya di sidang media di Dewan Masyarakat Lundu pada Isnin.

Tambah beliau, pesta akan diserikan lagi dengan Konsert Rakyat pada malam 24 September 2022 dengan persembahan artis seperti Jay Jay, Ricky El dan banyak lagi. — DayakDaily