KUCHING, 16 Nov: Kenyataan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sengaja melengahkan tarikh pilihanraya adalah tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi DAP Simanggang Leon Jimat Donald.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihak SPR harus mengambil kira prosedur dan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan para pengundi.
“Ini adalah kali pertama pilihanraya negeri diadakan sejak kita menghadapi pandemik Covid-19.
“Oleh sebab itu, pilihan raya negeri tidak seharusnya diadakan dengan segera demi kepentingan rakyat,” kata Leon.
Katanya, GPS tidak harus khuatir jika mereka benar-benar telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik selama ini.
Beliau merasakan bahawa rakyat sudah bersedia untuk melakukan perubahan kerana GPS yang menerajui kerajaan sangat ketara sudah kemaruk kuasa.
“Mereka sanggup melakukan pilihanraya di dalam keadaan jumlah kes positif Covid-19 masih tinggi,” ujar beliau.
Menurut Leon lagi, GPS juga menghalang hak demokratik warga muda menerusi Undi18 setelah mereka mahu pilihanraya diadakan sebelum 1 Jan, 2022.
Menerusi kenyataan itu, Leon menyatakan hasrat untuk bertanding di pilihanraya negeri ini.
”Ini adalah kerana sejak 12 tahun bersama DAP, saya telah mengembara, merentasi semua kawasan kediaman baik perumahan atau rumah panjang di Simanggang.
“Saya cuba untuk lebih mengenali warga Simanggang, serta membantu menyelesaikan permasalahan rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya. — DayakDaily