E-hailing teksi motosikal belum dibenarkan di Malaysia

Henry Sum Agong

KUCHING, 16 Nov: Tiada perancangan untuk perkhidmatan e-hailing teksi motosikal dibenarkan beroperasi di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau yang juga MP Lawas berkata, ia diputuskan atas dasar risiko nahas jalan raya amat tinggi yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tiada mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal dengan mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.


“Risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan MP Julau Larry Sng Wei Shien mengenai rancangan komprehensif Kementerian Pengangkutan.

Larry bertanya berhubung menjadikan servis perkhidmatan e-hailing teksi motosikal sebagai salah satu pelengkap perkhidmatan awam yang baharu di negara ini.

Dalam pada itu, Datuk Henry menambah, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dikalangan pengguna motosikal sedia ada.

“Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenai perkara ini dipertimbangkan kelak,” jelasnya. — DayakDaily