IPD Kuching: 16 ditangkap dalam serbuan di Kampung Tabuan Hilir

Suspek-suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 16 Nov: Seramai 16 individu berjaya ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi di Kampung Tabuan Hilir, di sini semalam (isnin).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching dari jam 10 pagi.

Katanya, serbuan pertama berjaya menangkap 12 lelaki berusia sekitar 21 hingga 44 tahun.


“Beberapa suspek telah melarikan diri dan terjun ke sungai berhampiran menyebabkan seorang daripadanya telah lemas dan disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pegawai kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau selain itu mengingatkan mana-mana pihak untuk menghormati privasi keluarga suspek yang meninggal dunia.

Menurutnya, kesemua yang ditangkap didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Selain itu, tujuh daripadanya masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau dadah.

“Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjuy di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ahsmon turut memberitahu serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah rumah dan berjaya menangkap tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 40 tahun.

“Pemeriksaan telah menjumpai tujuh paket berisi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu di ruang tamu rumah tersebut.

“Keempat-empat suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(1) ADB 1952,” katanya. ā€” DayakDaily