PRS menang semua 11 kerusi, satu pencapaian hebat

Dato Ir Janang Bungsu

KUCHING, 19 Dis: Parti Rakyat Sarawak (PRS) meraih kemenangan di kesemua 11 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Ini sekaligus menyaksikan PRS mengulangi pencapaian dalam PRN 2016 apabila turut memenangi 11 kerusi ketika bertanding sebagai Barisan Nasional (BN).

Kerusi-kerusi tersebut ialah Balai Ringin, Bukit Begunan, Batang Ai, Ngemah, Tamin, Kakus, Pelagus, Baleh, Belaga, Murum dan Samalaju.

Setiausaha Agung PRS Dato Ir Janang Bungsu menggangap ia merupakan satu pencapaian yang sangat hebat, hasil kerjasama serta kesatuan semua pemimpin dan ahli-ahli parti.

Katanya, kemenangan manis di catat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N59 Tamin dengan calonnya Christopher Gira berjaya mempertahankan kerusi tersebut mengatasi pencabar Datuk Joseph Entulu Belaun dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Gira meraih 7,778 undi manakala Entulu meraih 4,190 undi.

Gira menang dengan majoriti 3,588 undi.

“Saya dan pemangku presiden Datuk Joseph Salang telah membantu di kawasan yang kita anggap ada tentangan sengit.

“Kemenangan di DUN Tamin adalah paling manis kali ini, Gira menewaskan Entulu yang kita anggap mampu mencabar.

“Tetapi Gira telah menang dengan majoriti yang cukup meyakinkan,” kata Janang ketika dihubungi bagi mengulas kemenangan 100 peratus PRS hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui beberapa kawasan DUN PRS bertanding mendapat tentangan hebat dari parti lawan.

Ini khususnya di DUN N49 Ngemah dimana PRS meletakkan calon baharu, Anyi Jana.

“Ia agak mencabar di beberapa kawasan DUN khususnya calon baharu kita di Ngemah, yang lain kita agak yakin dapat menang.

“Dengan sokongan daripada semua pihak khususnya jentera GPS, kita mampu menang di Ngemah dengan majoriti 261 undi.

“Pencapaian ini adalah lebih baik daripada PRN yang lepas,’ ujar Janang.

DUN N49 Ngemah menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Anyi menang setelah meraih sebanyak 3,193 undi.

Beliau menewaskan calon PSB, Dr Joseph Jawa Kendawang yang meraih 2,932 undi.

Manakala, calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Leo Bunsu telah hilang deposit dengan 354 undi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Satu Anchom dengan 259 undi dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang juga turut hilang deposit dengan 169 undi.

Sementara itu, Janang mengakui kejutan berlaku di DUN N34 Batang Ai yang walaupun calon PRS Datuk Malcolm Mussen menang, namun majoriti telah berkurang berbanding PRN lepas.

“Kita sepatutnya menang mudah di Batang Ai, tetapi majoriti Mussen telah berkurang.

“Tetapi menang tetap menang, kita menang di semua 11 kerusi dan ia satu pencapaian baik,” ujar Janang lagi.

Mussen pada PRN12 ini mempertahankan kerusi Batang Ai dengan majoriti 738 undi setelah meraih 3,208 undi.

Pencabar terdekat yang merupakan calon Bebas John Linang Mereejon meraih 2,470 undi.

William Nyallau Badak dari PSB meraih 1,366 undi manakala Usup Asun dari PBK meraih 151 undi.

Pada PRN 2016, Mussen menang dengan majoriti besar 3,186 undi.

Tambah Janang, PRS memang meramal boleh memenangi semua 11 kerusi pada PRN12 ini.

Ujar beliau, usaha untuk mendekati pengundi dilipat gandakan di kawasan yang dikenal pasti mendapat tentangan sengit pihak lawan.

Calon baharu PRS di DUN N64 Baleh Nicholas Kudi Jantai menang dengan majoriti 1,909 undi dalam persaingan 4 penjuru.

Nicholas yang meraih 3,541 undi mengatasi pencabar terdekat Koh Kumbong dari PSB yang meraih 1,632 undi.

Naib Presiden PRS Datuk Liwan Lagang sekali lagi mempertahankan kerusi DUN N65 Belaga dengan majoriti 2,245 undi setelah meraih 3,552 undi dalam persaingan 4 penjuru.

Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan turut mengekalkan kerusi DUN N30 Balai Ringin setelah meraih 4,816 undi mengatasi pencabar terdekat Masir Kujat (PSB) yang meraih 3,531 undi.

Di kerusi DUN N60 Kakus pula, penyandangnya Datuk John Sikie Tayai menang dengan meraih 5,307 undi mengatasi pencabar terdekat Peter Tuan (PSB) yang meraih 3,410 undi.

Sikie menang dengan majoriti 1,897 undi.

Dalam pada itu, Datuk Mong Dagang tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi DUN N31 Bukit Begunan setelah menang dengan majoriti 1,402 undi.

Dalam persaingan 4 penjuru itu, Mong meraih 4,054 undi mengatasi pencabar terdekat Norina Umoi (PSB) yang meraih 2,652 undi.

Di kerusi DUN N61 Pelagus pula, calon PRS Wilson Nyabong Ijang menang dengan majoriti 1,049 undi dalam persaingan 5 penjuru.

Wilson meraih 2,843 undi manakala pencabar terdekat Kristoffer Nyuak Bajok (PSB) meraih 1,794 undi.

Sementara itu, PRS tiada masalah menang di kerusi DUN N66 Murum dan N70 Samalaju.

Calonnya di Murum iaitu Kennedy Chukpai Ugon meraih 4,584 undi sekaligus menang dengan majoriti besar 2,919 undi.

Manakala Dato Majang Renggi di Samalaju pula menang dengan majoriti besar 6,043 undi.

Salang (dua dari kiri) bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tiga dari kiri) meraihkan kemenangan GPS dengan lebih dua pertiga majoriti di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Demi pengukuhan PRS dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), Janang mengajak semua ahli-ahli parti untuk terus bersatu.

Beliau meletakkan misi seterusnya adalah untuk merampas kembali 4 kerusi parlimen milik PRS yang telah jatuh kepada pihak pembangkang pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Katanya, kerusi Parlimen Selangau, Julau, Lubok Antu dan Sri Aman mesti kembali menjadi milik PRS pada PRU15 nanti. — DayakDaily