DAP Stampin agih 30,000 topeng muka untuk murid sekolah rendah

Chong menunjukkan bekalan topeng muka yang akan diagihkannya kepada murid SJK Chung Hua Stapok.

KUCHING, 31 Jan: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Stampin akan mengagih sebanyak 30,000 topeng muka kepada murid di semua sekolah rendah di kawasan terbabit bermula hari ini.

Ahli Parlimen Stampin dan pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata agihan terbabit termasuk sekolah mubaligh, sekolah kerajaan dan sekolah aliran Cina berikutan murid sekolah rendah antara kumpulan berisiko menghidapi penyakit Wuhan koronavirus yang sedang merebak.

“Kami menganggarkan sebanyak 30,000 topeng muka mencukupi bagi diagihkan kepada semua murid sekolah rendah di Parlimen Stampin) dan sudah membuat pesanan,” katanya selepas menagihkan topeng muka terbabit kepada sekolah pertama, iaitu di SJK Chung Hua Stapok, Batu Kawa, di sini hari ini.


Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pihaknya akan memesan lebih banyak lagi bekalan topeng muka sekiranya bekalan yang sudah dipesan itu tidak mencukupi.

“Sudah tentu bekalannya akan tidak mencukupi, kerana yang lebih penting adalah program kesedaran tentang kebersihan diri dan cara mengelakkan penyebaran wabak koronavirus (kepada murid sekolah),” katanya.

Berikutan itu, pihaknya selepas ini akan mendapatkan senarai semua sekolah rendah di Parlimen Stampin dari Kementerian Pendidikan bagi memastikan tiada sekolah yang tercicir dari menerima topeng terbabit.

Chong menunjukkan pemakaian topeng muka yang betul kepada murid.

Katanya jumlah topeng diberikan ke setiap sekolah rendah pula akan berdasarkan bilangan murid.

Hari ini beliau menagihkan sebanyak 950 topeng muka kepada SJK Chung Hua Stapok, SJK Chung Hua Syn San Too (450) dan SJK Chung Hua Batu Kawa (450).

“Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, juga sedang membuat pengagihan topeng muka di sekolah rendah. Kami bukan sahaja mengalakkan wakil rakyat DAP, tetapi semua wakil rakyat melakukan ini di kawasan masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, wabak koronavirus tidak mengira kaum, agama ataupun fahaman politik. — DayakDaily