Curi tanda sawit segar dari kebun orang, dua sahabat diberkas polis

Kenderaan pacuan empat roda disyaki telah digunakan dalam kejadian turut dirampas.

MIRI, Jun 16: Taktik seorang lelaki bersama rakannya menjual tandan segar kelapa sawit seberat 400kg yang disyaki telah dicuri dari sebuah kebun di Kampung Kelulit Bekenu, dengan menggunakan nama bapanya terbongkar, apabila mereka ditahan polis pada Selasa (15 Jun).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dalam satu operasi dinamakan Ops Pintu.

Suspek pertama berusia 49 tahun ditahan sekitar jam 5.05 petang di pekan lama Sepupok Batu Niah.


Penahanannya membawa kepada suspek kedua berusia 36 tahun.

Turut dirampas , sebuah kenderaan pacuan empat roda milik suspek pertama dipercayai telah digunakan dalam kejadian.

Pada petang Isnin, sekitar jam 4 petang, seorang pemilik kebun di Kampung Kelulit Bekenu telah terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah tandan segar kelapa sawit ke dalam belakang kenderaan pacuan empat roda di kebunnya.

Suspek telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pemilim kebun tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaa kerana mencuri. — DayakDaily