‘Harapkan pagar, pagar makan padi’, pengawal keselamatan sekolah diberkas kerana disyaki melarikan wang tabung

Suspek (tiga dari kiri) ditahan polis.

MIRI, 16 Jun: Perbuatan seorang pengawal keselamatan sekolah melarikan wang tabung persatuan silat dari sebuah sekolah rendah di sini membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan dalam kejadian, wang berjumlah lebih RM3,000 telah dilaporkan hilang dipercayai dicuri.

Dengan niat hendal mengaburi perbuatannya itu, dan mengelak dari ditangkap, suspek telah segera meminta majikannya untuk memindahkan lokasi tempat dia bekerja.


Namun, kehilangan wang tersebut terungkai, apabila salah seorang huru sekolah terbabit melakukan pemeriksaan mengejut ke bangunan sekolah pada awal pagi Selasa.

Tangkapan dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Miri sekitar jam 3.45 petang Selasa di sebuah pasar raya di Riam.

Suspek berusia 28 tahun itu kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri (CPS) untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, siasatan awal mendapati, kesalahan tersebut bukanlah kali pertama dilakukan suspek, malah sebelum ini di sekolah yang berbeza semasa penugasannya sebagai pegawal keselamatan, kecurian melibatkan sejumlah wang turut berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. — DayakDaily