Cukai dicadangkan untuk pelancong asing yang melawat kawasan hutan simpan

Pelancong asing yang ramai melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh bagi melihat spesis haiwan orang utan.

KUCHING, Dis 12: Kerajaan negeri bercadang mengenakan cukai terhadap pelancong asing yang semakin ramai melawat ke kawasan hutan simpan semulajadi sebagai sumber pendapatan yang baru dari kawasan hutan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini negeri ini masih memiliki banyak kawasan hutan semulajadi dan pelancong asing dari seluruh dunia semakin ramai mengunjungi negeri ini bagi melihat hutan simpan itu dan juga haiwan liarnya.

“Sekiranya kita boleh membawa mereka masuk (melawat kawasan hutan simpan semulajadi negeri ini), kita juga boleh membentukkan satu cukai bagi mereka melihat kawasan hutan itu, maknanya ada cara kita mendapat pendapatan dari kawasan hutan negeri ini tanpa perlu menebang pokoknya,” katanya ketika merasmikan Majlis Ulangtahun Ke-15 Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), di sini, semalam.


Abang Johari berkata usaha itu merupakan polisi baru kerajaan negeri berikutan negeri ini tidak boleh terus bergantung kepada industri perkayuan yang membabitkan menebang pokok sebagai sumber pendapatan utama dari kawasan hutan.

“Malahan sebelum ini sejurus kemerdekaan, kawasan hutan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kita sehinggakan politik ketika itu juga amat berkaitan (industri) perkayuan dan itulah kesannya apabila perkayuan menjadi satunya sumber pendapatan,” katanya.

Menurutnya dunia kini sudah berubah dan sumber pendapatan dari perkayuan dan penebangan pokok dalam kawasan hutan simpan semulajadi negeri ini sudah boleh digantikan dengan pendapatan dari ketibaan pelancong asing yang sanggup berbelanja semata-mata mahu melawat hutan itu.

Beliau berkata antara kawasan hutan simpan semulajadi yang gemar dikunjungi pelancong asing di negeri ini ialah Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang juga sudah dikenali seluruh dunia sebagai tempat menjalankan usaha memulihara spesis haiwan orang utan di Sarawak.

“Kita juga ada Rizab Semulajadi Piasau. Jarang kita dapat melihat ada rizab semulajadi di kawasan bandar, saya fikir hanya Sarawak yang ada rizab semulajadi dalam kawasan bandar,” katanya dengan rizab tersebut kerap dikunjungi pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau di majlis itu mencadangkan SFC supaya mewujudkan satu lagi rizab semualajadi di kawasan bandar supaya pelancong asing akan dapat melihat spesis burung enggang dan pelbagai spesis haiwan liar menarik lain. — DayakDaily