ABM terima 6 pengiktirafan berprestij di Worldskills Asia 2018

Ahmad Naim dari ABM Wilayah Sarawak menerima pingat perak dalam bidang Lukisan & Hiasan di Majlis Penutup WorldSkills Asia (WSA) yang diadakan di Abu Dhabi.

ABU DHABI, Dis 12: Akademi Binaan Malaysia (ABM), pusat penilaian dan latihan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), telah melakar sejarah apabila berjaya menerima enam pengiktirafan sekaligus mengharumkan nama negara dalam pertandingan kemahiran WorldSkills Asia (WSA) 2018 yang berlangsung di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) pada November 26-30 lepas.

Pengiktirafan berprestij tersebut, termasuk pingat emas yang disumbangkan oleh Mohamad Amirol Amin Mohamad Zamri dari ABM Wilayah Selatan apabila berjaya menewaskan 10 peserta dari negara Asia lain termasuk Indonesia, Chinese Taipei, India, Belarus dan Emiriah Arab Bersatu, menurut satu kenyataan media CIDB hari ini.

Manakala, Ahmad Naim Mohamad Rosli dari ABM Wilayah Sarawak yang memenangi pingat perak dalam bidang Lukisan dan Hiasan termasuk empat orang lagi peserta dari ABM masing-masing dalam bidang Penyejukan dan Penyaman Udara, Kimpalan, Lukisan dan Hiasan serta Pendawaian Elektrik diumumkan sebagai penerima Medallion for Excellence atas pencapaian yang baik di pertandingan tersebut.

Mohamad Amirol menerima pingat emas dalam bidang Kimpalan di Majlis Penutup WorldSkills Asia (WSA) yang diadakan di Abu Dhabi.

Jumlah keseluruhan pengiktirafan bagi kontinjen Malaysia di pertandingan peringkat Asia itu adalah sebanyak sebelas (11) pengiktirafan di mana tiga emas, tiga perak dan lima penerima ‘Medallion for Excellence’ diterima oleh institut-institut latihan kemahiran terpilih di negara ini.


Daripada jumlah keseluruhan pengiktirafan yang diterima oleh kontinjen Malaysia itu, Kementerian Kerja Raya menyumbang sembilan anugerah bagi 17 bidang kemahiran yang telah dipertandingkan.

Sebanyak 19 buah negara Asia telah menghantar wakil dalam pertandingan WSA yang merupakan salah satu platform bagi pelatih-pelatih dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjalin kerjasama di peringkat Asia untuk bertukar kepakaran, teknologi dan kaedah latihan di kalangan negara-negara Asia yang terlibat.

Kejayaan ini, sekaligus melayakkan kontinjen Malaysia untuk menyertai WorldSkills Competition (WSC) 2019 yang akan diadakan di Kazan, Russia pada tahun hadapan. — DayakDaily